Wednesday, May 5, 2021




Pekerjaan Menurut Konsep Islam 

Kerja menurut konsep Islam adalah segala yang dilakukan oleh manusia yang meliputi kerja untuk dunia dan kerja untuk akhirat. Kerja untuk dunia terbahagi kepada dua iaitu bercorak aqli (mental) atau bercorak jasmani adalah dipandang penting dan mulia di sisi Islam asal sahaja dibolehkan oleh syarak. 

Islam mewajibkan kerja ke atas seluruh umatnya tanpa mengira darjat, keturunan atau warna kulit, kerana seluruh umat manusia adalah sama di sisi Allah, melainkan ketaqwaannya. Masyarakat Islam adalah sama-sama bertanggungjawab dan bekerjasama melalui kerja masing-masing. Berdasarkan kebolehan dan kelayakan bidang masing-masing kerana segala kerja mereka adalah bersumberkan iman dan bertujuan untuk melaksanakan amal soleh. Kerja adalah asas penilaian manusia dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya sebagai khalifah Allah untuk memakmurkan bumi ini sekaligus beribadat kepada Allah. Kerja juga merupakan cara yang tabi’i untuk manusia mencari nafkah bagi menyara hidup dan keluarga melalui berbagai sektor pekerjaan dan perusahaan yang sedia terbuka peluangnya dengan persediaan dan kemudahan alam yang Allah sediakan di atas muka bumi ini. 

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: 

“Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri” (Riwayat Bukhari) 

Islam menjadikan kerja sebagai tuntutan fardhu atas semua umatnya selaras dengan dasar persamaan yang diisytiharkan oleh Islam bagi menghapuskan sistem membeza-bezakan manusia mengikut darjat atau kasta dan warna kulit. 

Firman Allah: 

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang termulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang taqwa.” 

(Surah Al Hujurat, ayat 13) 

Firman Allah lagi: “Dan katakanlah wahai Muhammad, beramallah kamu akan segala apa yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.”

 (Surah At Taubah, ayat 105)

Islam juga meningkatkan tuntutan kerja itu hingga ke tahap kewajipan agama. Oleh itu, tahap iman sentiasa dikaitkan oleh Al-Quran dengan amal soleh atau perbuatan baik. Ini bererti Islam itu adalah akidah yang mesti diamalkan dan amalan yang mesti berakidah secara tidak terpisah.




No comments:

Post a Comment